Polimer

 

Definisi polimer
Molekul berantai panjang yang terhasil daripada pencantuman banyak ulangan unit asas
 
  • Terdapat pelbagai barangan di sekeliling kita yang terdiri daripada polimer seperti protein, kanji, polietena dan nilon.
  • Unit asas bagi polimer dinamakan monomer.
  • Tindak balas pencantuman monomer untuk menghasilkan polimer dinamakan tindak balas pempolimeran
  • Polimer dapat dikelaskan kepada beberapa kumpulan berdasarkan sumber polimer, cara polimer dihasilkan dan ciri-ciri polimer yang terhasil.
 

Sumber Polimer

 
  • Polimer terdiri daripada polimer semula jadi atau polimer sintetik.
  • Polimer semula jadi merupakan polimer yang terhasil secara semula jadi dan dapat diperoleh daripada alam sekeliling.
  • Antara contoh polimer semula jadi ialah kanji, protein dan kapas.
  • Polimer sintetik pula dihasilkan oleh manusia melalui tindak balas kimia di makmal atau di kilang-kilang.
  • Nilon, polietena, polistirena dan polivinil klorida (PVC) adalah antara contoh polimer sintetik yang dihasilkan dalam sektor perindustrian.
  • Kanji ialah sejenis polimer semula jadi yang terhasil daripada glukosa.
  • Daging ialah salah satu sumber protein. Protein dihasilkan daripada asid amino yang merupakan sejenis monomer.
 
Sumber polimer Polimer Monomer
Semula jadi Kanji Glukosa
Semula jadi Selulosa Glukosa
Semula jadi Protein Asid amino
Semula jadi Getah asli Isoprena
Sintetik Polistirena Stirena
Sintetik Polipropena Propena
Sintetik Polivinil klorida Vinil klorida
 

Jenis-jenis Polimer

 
Jenis polimer Ciri-ciri

Polimer termoplastik

  • Dapat diacu berulang kali selepas dipanaskan dan boleh dikitar semula.
  • Apabila dipanaskan, polimer termoplastik melebur dan mengeras apabila disejukkan.
  • Contoh: Polietena, polivinil klorida (PVC), nilon.

Polimer termoset

  • Tidak dapat diacu semula selepas dipanaskan.
  • Polimer termoset biasanya akan terurai atau hangus apabila dipanaskan dan tidak dapat dikitar semula.
  • Contoh: Melamina, bakelit.

Polimer elastomer

  • Dapat diregang dan kembali kepada bentuk asal selepas dilepaskan.
  • Mempunyai sifat elastik yang tinggi.
  • Contoh: Poliuretana, getah stirena-butadiena (SBR).
 

Tindak Balas Pempolimeran

 
  • Tindak balas pempolimeran terbahagi kepada dua jenis, iaitu pempolimeran penambahan dan pempolimeran kondensasi.
  • Pempolimeran penambahan berlaku apabila monomer mempunyai ikatan kovalen ganda dua antara karbon, C=C bertindak balas antara satu sama lain.
 
Pempolimeran penambahan
 
Monomer Polimer
Etena Polietena
Propena Polipropena
Kloroetena
(vinil klorida)
Polikloroetena
(Polivinil klorida, PVC)
Stirena Polistirena

 

Polimer Ciri-ciri
Polietena Tahan lasak dan kuat
Polipropena Tahan lasak
Polikloroetena
(Polivinil klorida, PVC)
Kuat dan keras
Polistirena Ringan dan penebat haba

 

Polimer Kegunaan
Polietena Beg plastik, botol plastik dan plastik pembungkus
Polipropena Alat mainan dan tekstil
Polivinil klorida, PVC Paip air dan penebat elektrik
Polistirena Penebat haba dan pembungkus makanan
 
  • Sewaktu tindak balas, ikatan ganda dua “dibuka” dan monomer “ditambah” pada rantai molekul untuk menghasilkan polimer.
 
Tindak balas pempolimeran penambahan untuk menghasilkan polietena
 
Pempolimeran Kondensasi
 
  • Pempolimeran kondensasi melibatkan sekurang-kurangnya dua jenis monomer yang berbeza.
  • Monomer yang terlibat memiliki dua kumpulan berfungsi yang terlibat dalam tindak balas pempolimeran.
  • Hasil pempolimeran kondensasi ialah polimer dan satu produk lain seperti air atau molekul HCl.
 
Tindak balas pempolimeran kondensasi untuk menghasilkan terilena

 

Tindak balas pempolimeran kondensasi untuk menghasilkan nilon
 

Penggunaan Polimer dalam Kehidupan Seharian

 
  • Ciri-ciri yang tidak terdapat pada polimer semula jadi antaranya:
 
Ciri-ciri Polimer Sintetik
Penebat haba yang baik
Ringan, kuat dan keras
Bersifat lengai dan tidak reaktif
Daya tahan haba yang tinggi
 

Kegunaan Polimer Sintetik

 
  • Pelbagai alatan perubatan dan makmal dihasilkan daripada polipropena.
  • Penggunaan polietena yang paling meluas adalah sebagai beg plastik.
  • Nilon menghasilkan benang yang penting untuk industri tekstil.
  • Penyalutan polimer akrilik digunakan untuk menghasilkan bumbung kalis air.
 

Polimer dan Alam Sekitar

 
  • Sifat sesetengah polimer yang tahan lasak dan mengambil masa yang sangat lama untuk terurai menyebabkan masalah pencemaran yang serius.
  • Pencemaran di lautan menyebabkan banyak hidupan mati dan mikroplastik memasuki rantaian makanan.
  • Pusat pelupusan sampah pula dipenuhi dengan beg plastik tidak terbiodegredasi yang akan memberi kesan kepada alam sekitar.
  • Kitar semula merupakan cara termudah bagi pengguna untuk memastikan polimer sintetik tidak berakhir di tapak pelupusan sampah.
  • Pengenalan polimer terdegradasi atau boleh urai terutama bagi barangan plastik membolehkan pencemaran dapat dikurangkan.
  • Bahan tambah dimasukkan untuk membolehkan barangan plastik terurai secara semula jadi oleh bakteria (biodegradasi) atau terurai dengan cahaya (fotodegradasi).
  • Barangan plastik akan terurai dengan lebih cepat dan dapat mengurangkan masalah lambakan barangan plastik di tapak pelupusan sampah di samping lebih selamat kepada haiwan liar.