Lakaran piktorial

 

4.1

 Lakaran piktorial
 
  • Menyenaraikan peranan lakaran dalam reka bentuk.
  • Mengenal pasti teknik lakaran piktorial.
  • Menghasilkan lakaran asas produk dalam bentuk 3D berdasarkan 2D.
  • Memilih lakaran produk terbaik berdasarkan elemen reka bentuk.
  • Menilai maklumat yang ada pada lakaran yang dipilih.
  • Mencadangkan penambahbaikan ke atas lakaran yang dipilih.
 

1. Lakaran merupakan contengan berbentuk garisan, gambar dan simbol bahasa yang menerangkan sesuatu perkara.

2. Lakaran boleh dipersembahkan daripada pelbagai pandangan atau secara piktorial (bergambar) sama ada dalam bentuk 2D atau 3D.

3. Dalam reka bentuk, lakaran ialah satu lukisan awal atau lukisan draf yang dihasilkan menggunakan teknik lakaran bebas tanpa bantuan alat melukis dan boleh dihasilkan dengan menggunakan tangan ataupun alatan gadget.

4. Berikut adalah peranan lakaran dalam reka bentuk:

Peranan Penerangan
Mempercepatkan pembangunan konsep
  • Lakaran merupakan kaedah terbaik dan menjimatkan masa untuk meneroka konsep bagi menunjukkan gambaran pereka
Asas komposisi untuk ilustrasi
  • Lakaran merupakan kaedah yang pantas untuk menunjukkan komposisi komponen dalam ilustrasi awal reka bentuk
Medium komunikasi pelanggan
  • Lakaran boleh dihantar kepada pelanggan untuk pertimbangan dan persetujuan.
Eksplorasi visual
  • Lakaran boleh digunakan sebagai catatan aktiviti dan eksplorasi pereka.
Penyelesaian perincian visual
  • Lakaran diperincikan dengan menambah pelbagai elemen berasaskan prinsip reka bentuk.
 
 

5. Berikut merupakan jenis-jenis lakaran:

  1. Lakaran peribadi atau contengan:
    Lakaran ini tidak kemas dan tidak tersusun.
     
  2. Lakaran  penerokaan:
    Lakaran ini biasanya kemas dan dibuat untuk membuat perbandingan konsep dengan barang yang ada di pasaran.
     
  3. Lakaran teknikal:
    Penghasilan lakaran teknikal menggambarkan lakaran ceraian, keratan rentas dan pelbagai sudut pandangan.
     
  4. Lakaran perkembangan idea:
    Lakaran ini digunakan untuk menunjukkan kesemua lakaran objek bermula daripada idea pertama sehingga gambaran projek terakhir.
     
  5. Lakaran persembahan:
    Lakaran ini membantu pelanggan memahami konsep rekaan yang ingin disampaikan oleh pereka.
     
  6. Lakaran digital:
    Lakaran yang dihasilkan menggunakan alatan (gadget) dan aplikasi terkini supaya hasil dan persembahan lebih menarik.
   

6. Terdapat tiga teknik lakaran piktorial iaitu:

  • Lakaran piktorial
  • Lakaran oblik
  • Lakaran perspektif

7. Penguasaan teknik melakar garisan lurus perlu diketahui untuk memastikan garisan yang dibuat tidak tersasar dari titik yang dikehendaki.

8. Terdapat dua kaedah yang digunakan iaitu

  • Kaedah garisan pendek
  • Kaedah garisan terus dua titik

9. Lakaran oblik ialah lakaran berbentuk 3D, prinsip yang perlu diamalkan ketika melakar oblik adalah seperti berikut

  • Lakaran oblik bergantung kepada jenis kavalier atau kabinet
  • Lakaran dilakarkan berpandukan tiga paksi asas, iaitu paksi menegak, paksi surut dan paksi mendatar.
  • Paksi surut adalah cenderung kepada paksi mendatar dan sudut yang digunakan ialah 45º
  • Paksi mendatar adalah bersudut tepat dengan paksi menegak

10. Lakaran isometrik ialah lakaran piktorial yang menunjukkan keseluruhan sesuatu pandangan objek. Objek ini dapat menggambarkan pandangan dalam bentuk 3D iaitu gabungan:

  • Pandangan atas (pelan)
  • Pandangan hadapan
  • Pandangan sisi

11. Lakaran perspektif ialah kaedah ilustrasi objek yang menyamai pandangan mata manusia, iaitu objek dekat bersaiz besar berbanding dengan objek yang jauh.

12. Dalam lakaran piktorial, tidak semua objek berada pada garisan lurus, oleh itu lakaran bulatan, lengkungan dan elips diperlukan untuk melakar objek-objek berbentuk silinder, sfera dan kon.

13. Gaya visual lakaran merujuk kepada teknik untuk menjadikan lakaran objek lebih realistik dan nampak menarik, terdapat beberapa teknik yang boleh digunakan iaitu:

  • Rendering
  • Kesan cahaya dan bayang
 

14. Lakaran 2D terdiri daripada satu pandangan sahaja iaitu sama ada pandangan atas, pandangan hadapan dan pandangan sisi sesebuah objek.

15. Lakaran 3D memberikan gambaran sebenar objek yang ingin dibina, ia mempunyai lebih daripada satu permukaan kerana menunjukkan tiga ukuran dimensi, iaitu panjang, lebar dan tinggi.

 

16. Kriteria pemilihan lakaran tersebut adalah seperti berikut:

  1. Menarik perhatian pelanggan
  2. Warna seimbang dan sesuai
  3. Bentuk mudah dihasilkan
  4. Mempunyai nilai estetika
  5. Maklumat lakaran lengkap

17. Selain itu, pemilihan produk terbaik juga boleh dibuat dengan mengedarkan borang penilaian kepada pelanggan atau pengguna.

 

18. Cita rasa pengguna sentiasa berubah mengikut trend semasa. Penilaian terhadap reka bentuk produk sedia ada di pasaran dapat membantu pereka mengenal pasti cita rasa terkini pengguna.

19. Berdasarkan penilaian yang dibuat, penambahbaikan perlu dilakukan.

20. Tujuan penambahbaikan adalah seperti berikut:

  1. Memenuhi cita rasa pengguna terkini
  2. Mengikut trend semasa
  3. Menyaingi produk-produk yang ada dalam pasaran
  4. Mengikut kehendak pasaran semasa