Peranan Guru Dalam Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) Abad Ke-21

Peranan Guru Dalam Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) Abad Ke-21

Share this post

PENGENALAN

Keperluan pendidikan dalam abad ke-21 amat berbeza dengan keperluan pendidikan sebelum ini. Dalam pendidikan abad ke -21, guru berperanan sebagai pemudah cara kepada pembelajaran murid yang mewujudkan persekitaran kelas yang kondusif dan produktif yang mana murid perlu dibentuk dari segi kemahiran bagi masa depan mereka. Dalam kata lainnya ialah untuk melahirkan murid berkemahiran dalam berfikir aras tinggi, kemahiran komunikasi yang efektif dan pengetahuan tentang teknologi.

Justeru, peranan guru  sebagai agen perubahan dalam abad ke-21 agak mencabar dan tidak lagi serupa dengan peranan yang dimainkan dalam pendidikan sebelum ini. Sebelum ini, guru hanya berperanan sebagai guru sumber ilmu pengetahuan, memimpin dan mendidik murid dalam kehidupan dan persekitaran sekolah sahaja. 

Dengan itu, bagi menjana transformasi pendidikan dalam pendidikan abad ke-21, peranan guru perlu berubah dari segi perlakuan dan pengetahuan. Kini peranan utama guru ialah untuk melahirkan insan yang dinamik dan berkualiti bagi dunia dan akhirat.

Guru juga perlu menjadi penyampai yang berkesan, mempunyai kemahiran dalam penggunaan media dan teknologi maklumat serta mempunyai aspek nilai-nilai murni agar dapat melahirkan generasi muda yang berakhlak tinggi, mulia dan berpengetahuan tinggi.

 

 

CIRI-CIRI GURU DALAM PENDIDIKAN ABAD KE-21

Terlebih dahulu dinyatakan mengenai ciri-ciri guru yang perlu dimiliki dalam pendidikan Abad ke-21. Menurut cikgu Hailmi daripada cikguhailmi.com yang telah dikongsikannya, terdapat enam ciri-ciri guru yang perlu dimiliki dalam pendidikan Abad ke-21. Antara ciri-ciri tersebut ialah:

1. Guru  Mesti Menguasai Subjek
Guru haruslah menguasai kandungan kurikulum bagi subjek yang diajar. Tentu agak canggung jadinya jika guru sendiri masih terkial-kial untuk menerangkan sesuatu kandungan dalam subjek yang diajarnya.

 

2. Guru Mesti Mahir dan Berketrampilan dalam Pedagogi
Guru haruslah mahir dalam menggunakan pelbagai kaedah dan strategi pengajaran dan pembelajaran yang betul semasa menjalankan p&p di dalam kelas. Pembelajaran yang pelbagai ini tentu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif dan mesra pelajar.

 

3. Guru Mesti Memahami Perkembangan dan Menyayangi Murid
Psikologi pendidikan juga menerapkan kepentingan bagi seseorang guru untuk faham akan perkembangan muridnya, serta mampu menyayangi mereka seadanya. Guru abad 21 seharusnya mampu untuk menilai perkembangan murid sesuai dengan kebolehan mereka. 

 

4. Guru Mesti Memahami Psikologi Pembelajaran
Guru abad 21 juga berupaya untuk memahami psikologi pembelajaran bagi para pelajarnya. Hanya dengan memahami bagaimana minat dan respon pelajar ketika belajar, maka akan membantu seseorang guru itu berfungsi dengan lebih baik sebagai seorang pendidik.

 

5. Guru Mesti Memiliki Kemahiran Kaunseling
Guru juga perlu mempunyai kemahiran kaunseling ketika berurusan dengan pelajar. Kemahiran untuk membantu pelajar menangani emosi, sosial dan juga pelbagai lagi perkara yang menjadi masalah kepada golongan remaja. Adalah satu kelebihan untuk guru-guru yang memiliki kemahiran kaunseling dalam menangani isu-isu yang berkaitan dalam dan luar bilik darjah.

 

6. Guru Mesti Mengetahui Tentang Penggunaan Teknologi Terkini
Memang tidak dapat dinafikan penggunaan teknologi terkini merupakan salah satu ciri penting bagi guru abad ke 21. Selain daripada murid yang memang mahir dengan penggunaan gajet dan pelbagai alatan elektronik lain, maka guru juga perlu seiring dalam menggunakan kelebihan ini untuk menarik minat pelajar untuk belajar. Pembelajaran yang menggunakan LCD atau game dan aplikasi mobile sudah tentu membawa kelainan kepada suasana pembelajaran di dalam kelas.

 

PERANAN GURU DALAM BILIK DARJAH

Apakah pula peranan guru dalam bilik darjah? Merujuk kepada Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2), Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),

peranan guru dalam pendidikan abad ke-21 ialah sebagai pemudahcara dalam proses PdP yang berkesan dan berkualiti. Hal ini bertujuan untuk memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan pencapaian murid pada tahap optimum dan secara berterusan.

Peranan guru dalam bilik darjah pula perlu memainkan peranan semasa melaksanakan proses PdPc (Pembelajaran dan Pemudahcaraan) seperti berikut. Peranan tersebut dibahagikan kepada lima jenis iaitu:

 

1. Guru sebagai Perancang

Guru bertindak sebagai perancang pelaksanaan PdPc secara professional dan sistematik. Tindakan yang perlu guru laksanakan ialah penyediaan Rancangan Pelajaran Harian (RPH) yang mengandungi objektif yang boleh diukur dan aktiviti pembelajaran yang sesuai, menentukan kaedah pentaksiran, menyediakan sumber pendidikan (ABM/BBM/BBB/TMK) mengikut keupayaan murid, peruntukan masa dan mematuhi arahan yang berkuat kuasa. 

 

2. Guru sebagai Pengawal

Guru sebagai pengawal bertindak  untuk memastikan kelancaran proses pembelajaran mengikut perancangan. Guru mengawal proses pembelajaran secara professional dan terancang. Tindakan yang perlu guru laksanakan ialah mengelola isi pelajaran/skop pembelajaran yang dirancang, mengelola masa PdPc selaras dengan aktiviti pembelajaran dan memberi peluang kepada penyertaan aktif murid dengan menepati objektif pelajaran, mengikut keupayaan murid dan secara berterusan dalam PdPc. Guru sebagai pengawal juga mengawal suasana pembelajaran secara profesional dan terancang. Tindakan guru yang perlu dilaksanakan ialah mengawasi komunikasi dan perlakuan murid dalam PdPc, menyusun atur kedudukan murid dan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan mengikut kesesuaian dan keperluan, secara berhemah, menyeluruh dan berterusan. 

 

3. Guru sebagai Pembimbing

Guru sebagai pembimbing bertindak untuk membolehkan murid menguasai pengetahuan, kemahiran dan mengamalkan nilai berdasarkan objektif pelajaran. Guru membimbing murid dengan memberi tunjuk ajar dalam menguasai isi pelajaran dan kemahiran, memandu murid membuat keputusan serta menyelesaikan masalah. Selain itu, guru membimbing murid dengan  menggunakan sumber pendidikan serta menggabung jalin isi pelajaran dengan kemahiran atau mata pelajaran lain mengikut keperluan dan keupayaan murid dengan betul, tepat, secara berhemah dan bersungguh-sungguh.

 

4. Guru sebagai Pendorong

Guru sebagai pendorong bertindak mendorong minda murid untuk melaksanakan aktiviti pembelajaran secara profesional dan terancang. Guru perlu juga mendorong murid untuk meningkatkan motivasi dan kemahiran insaniah murid. Selain itu, guru perlu merangsang murid berkomunikasi dan berkolaboratif mengemukakan soalan menjurus ke arah pemikiran kritis dan kreatif serta menyelesaikan masalah. Guru  juga perlu memberi pujian, galakan, penghargaan dan keyakinan serta prihatin terhadap keperluan murid secara berhemah, menyeluruh dan berterusan.

 

5. Guru sebagai Penilai 

Guru berperanan sebagai penilai untuk mengesan tahap penguasaan murid.  Guru melaksanakan penilaian secara sistematik dan terancang. Guru perlu menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran, menjalankan aktiviti pemulihan/pengayaan, memberi tugasan. membuat refleksi serta menyemak hasil kerja murid.

 

KESIMPULAN

Dengan hal ini, guru perlu memainkan peranan yang sangat penting bagi melahirkan kemenjadian murid yang berkemahiran dari segi kemahiran berfikir aras tinggi, berhemah dan berkomunikasi dengan baik.


 

 

Rujukan: 

  1. Peranan Guru dalam Abad ke-21. Adakah Kita Telah Bersedia? http://dreffandi.my
  2. Ciri-ciri Guru Abad ke-21 cikguhailmi.com
  3. Buku SKPMg2 Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti;Kementerian Pendidikan Malaysia

 

 

Tag Pembelajaran Pengajaran Abad ke-21

Prior knowledge

1.  Apakah peranan anda dalam melaksanakan PdP Abad ke-21?
2.  Senaraikan ciri-ciri guru yang perlu ada dalam melaksanakan PdP Abad ke-21 yang anda ketahui?

1. 

Berapakah jenis peranan guru yang perlu dimainkan semasa melaksanakan PdP dalam bilik darjah seperti yang dikongsikan ini?

Reflection

1.  Huraikan secara ringkas peranan guru dalam bilik darjah yang telah dikongsikan.
Loading...
Load lesson