Mengikut pandangan ahli penyelidik pendidikan dan ahli pemikir terdapat pelbagai jenis kemahiran berfikir. Berikut dibincangkan antara kemahiran berfikir yang utama.
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KREATIF
Kemahiran ini menggalakkan daya imaginasi, inovasi dan kreativiti seseorang pelajar untuk mendapatkan kepelbagaian idea, dan cuba mencipta analogi. Contoh-contoh kemahiran berfikir yang boleh dikelaskan dalam kategori ini termasuklah menghasilkan idea-idea serta membuat ramalan, analogi, hipotesis, generalisasi, kesimpulan, sintesis, dan mereka cipta sesuatu.
Antara kemahiran pemikiran kreatif yang dikenal pasti oleh Guilford dan Torrance adalah seperti berikut:
- Keaslian (Originality)
- Proses menghasilkan idea-idea yang baru dan asl
- Kelancaran (Fluency)
- Proses menghasilkan idea yang banyak pada satu-satu masa yang singkat.
- Fleksibiliti/Kemudahlenturan
- Proses menghasilkan idea-idea dengan kepelbagaian kategori dan berlainan sama sekali.
- Penghuraian (Elaboration)
- Proses menambahkan idea kepada satu idea yang lain atau proses melihat sesuatu secara terperinci.
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KRITIS
Kemahiran ini melibatkan proses menggunakan minda untuk menilai kewajaran sesuatu idea berdasarkan fakta atau bukti. Antara kemahiran yang terlibat adalah seperti:
- Mencirikan
- Mengenal pasti ciri-ciri, sifat, kualiti, dan unsur sesuatu konsep.
- Membanding dan membeza
- Mencari persamaan dan perbezaan dengan menggunakan ciri-ciri objek.
- Mengumpul dan mengelas
- Kebolehan mengumpul item berasaskan ciri-ciri sepunya.
- Membuat urutan
- Menyusun idea mengikut satu kriteria atau keutamaan.
- Menganalisis
- Mengolah maklumat dan meneliti bahagian-bahagian yang terkandung di dalamnya.
- Menilai
- Mempertimbangkan kebaikan dan keburukan sesuatu.
- Membuat kesimpulan
- Membuat pernyataan yang menjelaskan sebab atau alasan selepas menjalankan kajian.
- Memeriksa andaian.
- Membezakan fakta dengan pendapat
- Menentukan kesahihan sumber maklumat
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA PENYELESAIAN MASALAH
Kemahiran ini melibatkan satu proses mengaplikasi pengetahuan atau kemahiran untuk mencapai sesuatu penyelesaian. Ia juga melibatkan langkah-langkah seperti berikut:
- Menentukan maklumat dan memahami masalah
- Merancang strategi penyelesaian
- Melaksanakan strategi penyelesaian yang sesuai
- Menyemak semula
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA KONVERGEN
Proses penumpuan kepada satu jawapan yang betul, berdasarkan data-data sedia ada.
Contoh: Hasil tambah dua dengan tiga ialah _____ satu jawapan sahaja.
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA DIVERGEN
Proses pencapahan yang memberi beberapa jawapan yang betul.
Contoh: Apakah kegunaan kotak kadbod?
KEMAHIRAN BERFIKIR SECARA INDUKTIF
Proses penaakulan yang bermula dengan contoh-contoh yang khusus dan menuju kepada suatu kesimpulan yang umum.
Contoh: Seseorang yang melihat 2 x 4 = 8, 4 x 2 = 8, akan dapat membuat rumusan bahawa a x b = b x a.
|