Menangani gangguan dan tingkah laku pelajar yang berterusan merupakan salah satu aspek pengajaran yang diperlukan oleh guru bagi menghadapi cabaran yang lebih mencabar pada masa hadapan. Malah, guru cemerlang kebiasaannya akan bertungkus lumus dalam memilih teknik disiplin yang bagus yang dapat membantu menyelesaikan tugasannya.
Antara tujuan utama mempunyai kemahiran dalam mengendalikan pelajar adalah supaya guru memerlukan masa yang singkat untuk menegur pelajar yang sukar dikawal dan dapat meluangkan masa yang lebih lama untuk memotivasikan seluruh pelajar di dalam kelas. Namun begitu, perkara ini tidak mungkin boleh dilakukan jika guru tidak mempunyai rancangan untuk meletakkan harapan kepada pelajar.
1. Menetapkan Harapan Yang Jelas
Nyatakan dengan jelas harapan anda untuk semua pelajar dan berikan penerangan tentang tingkah laku yang baik kepada mereka.
- Pelajar anda mestilah mengetahui akibat yang bakal dihadapi jika mereka tidak memenuhi jangkaan tingkah laku yang ditetapkan.
- Pelajar juga haruslah berasa bertanggungjawab terhadap segala tindakan yang dikenakan apabila mereka tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Guru haruslah berbincang dengan pelajar tentang peraturan tingkah laku yang ditetapkan dan mengarahkan mereka untuk menandatangani perjanjian pada awal tahun. Hal ini bertujuan agar pelajar berasa lebih bertanggungjawab dalam mencapai standard yang tinggi.
- Tuliskan dan paparkan peraturan yang perlu dipatuhi di dalam kelas supaya ianya mudah dilihat oleh semua pelajar.
- Guru juga perlu memasukkan harapan untuk melihat pelajar bersikap sopan santun, menghormati guru, menjaga harta benda sekolah dan menunggu arahan sebelum bertindak di dalam senarai peraturan yang dilakukan.
2. Menjustifikasikan Harapan
Perkara ini sama penting seperti menetapkan harapan tetapi ianya lebih menjelaskan mengapa anda meletakkan harapan yang sedemikian. Walaupun guru tidak perlu menjelaskan kepada pelajar tentang alasan tersebut, tetapi ianya merupakan salah satu tugas sebagai guru iaitu membantu pelajar memahami kepentingan peraturan yang ditetapkan sama ada di dalam atau di luar kelas. Mengarahkan pelajar tanpa mengetahui sebab adalah bukan penjelasan baik yang akan membantu pelajar untuk memahami peraturan tersebut.
Peraturan tingkah laku dirancang bertujuan untuk menjadikan sekolah lebih selamat dan produktif. Apabila tingkah laku yang baik ditunjukkan oleh pelajar, maka guru tidak perlu risau tentang disiplin mereka. Perkara ini juga dapat menjalinkan hubungan yang baik antara guru dan pelajarnya. Guru perlu memberitahu pelajar tentang manfaat yang boleh diperolehi daripada tingkah laku yang baik.
3. Memuji Pelajar Yang Menunjukkan Tingkah Laku yang Baik
Memuji pelajar yang bertingkah laku dengan baik juga perlu diberikan penekanan yang sama seperti memberi teguran kepada pelajar yang bermasalah. Pelajar akan lebih bermotivasi melalui pujian yang diberikan kepada mereka. Sebaliknya, pelajar akan berasa kurang semangat untuk meneruskan usaha mereka apabila tiada guru yang memberikan penghargaan kepada kejayaan yang telah dicapai.
Guru haruslah sentiasa memerhatikan segala pencapaian yang dilakukan oleh pelajar. Seterusnya, melalui pencapaian tersebut, guru perlu memberikan pujian bagi membakar lagi semangat pelajar untuk menunjukkan tingkah laku yang lebih baik. Tambahan lagi, guru juga boleh membentuk budaya bilik darjah yang meraikan pelajar yang menunjukkan tingkah laku yang baik.
Bukan itu sahaja, sistem di mana pelajar dikenali oleh warga sekolah jika mereka mencapai harapan yang ditetapkan juga boleh diterapkan oleh para guru. Pelajar semestinya ingin dikenali atas tingkah laku baik yang ditunjukkan dan akan berusaha untuk menjadi lebih baik selepas diberikan pujian. Manakala, bagi pelajar yang tidak diberikan pujian atas kerja keras yang dilakukan, pastinya mereka akan kurang berusaha dan akan menunjukkan sikap yang tidak berdisiplin.
4. Sentiasa Bertenang
Kekecewaan dan kemarahan adalah tindak balas semula jadi kepada tekanan yang dihadapi apabila pelajar menunjukkan tingkah laku yang tidak baik. Namun begitu, sebagai seorang guru, anda haruslah sentiasa bertenang jika menghadapi situasi sedemikian. Pelajar pastinya akan bergantung harap kepada guru untuk membimbing mereka dan anda juga merupakan ikutan yang akan dicontohi oleh pelajar.
Jika anda menghadapi sebarang keadaan di mana anda takut akan beremosi, anda boleh menarik nafas dalam-dalam dan keluarkan diri dari situasi tersebut dengan cara terbaik. Ingatlah bahawa semua kanak-kanak berasal dari latar belakang yang berbeza, jadi mungkin ada di antara mereka yang memerlukan bantuan dari guru.
Langkah terbaik untuk menunjukkan kepada pelajar bagaimana anda mahu mereka berkelakuan adalah dengan memodelkan tingkah laku dan reaksi yang baik dari diri sendiri.
Rujukan
Tips for Handling Difficult Students
|