Perancangan Pelajaran hanya mencatatkan ringkasan tentang suatu topik dan kemahirannya. Ia dapat menjimatkan masa kerana guru dipandu dengan perancangan yang tersusun dan sistematik.
Format persediaan mengajar biasanya mengandungi perkara berikut:
- Topik yang hendak diajar
- Objektif
- Pengetahuan sedia ada
- Alat bantu mengajar
- Nilai-nilai
- Permulaan (induksi set)
- Perkembangan
- Aktiviti atau latihan
- Penilaian
- Penutup
1. TOPIK YANG HENDAK DIAJAR
- Melibatkan konsep ataupun kemahiran dalam Huraian Sukatan Pelajaran.
2. OBJEKTIF
- Langkah untuk mencapai sebagai tujuan mengajar yang berkaitan dengan isi pelajaran.
- Menggunakan kata kerja yang menunjukkan tingkah laku pelajar
- Objektif memberi fokus tentang mengaturkan bahan pengajaran serta membekalkan garis panduan untuk memilih strategi pengajaran.
Contoh: Untuk Teorem Pythagoras, guru menyatakan objektifnya seperti pelajar dapat menyatakan penggunaan Teorem Pythagoras.
- Cara untuk mentafsir sama ada pelajaran berjaya ialah memerhati tingkah laku guru atau pelajar. Satu-satu pelajaran dianggap berjaya sekiranya tingkah laku serupa seperti yang dijangka dalam objektif pengajaran.
- Tujuan membentuk objektif secara tingkah laku (behavioural) ialah mengidentifikasikan jenis perlakuan yang boleh diterima sebagai bukti pelajar dapat mencapai objektif itu.
- Penggunaan kata perbuatan (verb) seperti tulis, nyata, tunjuk dan lukis dapat menunjukkan perlakuan untuk membentuk objektif secara tingkah laku. Kata perbuatan seperti selesaikan, menterjemahkan dan menggunakan; merujuk kepada tingkah laku pada taraf yang lebih tinggi dan perlu ditakrifkan lagi supaya komunikasi lebih berkesan. Perkataan seperti memahami, mengerti, menikmati dan mengetahui; tidak jelas dalam konteks objektif kerana mempunyai pelbagai interpretasi.
- Sebagai garis panduan menyediakan pelajaran, perhatikan prinsip-prinsip berikut:
1. Nyatakan objektif dengan jelas dari segi tingkah laku, elakkan perkataan seperti faham, tahu dan mengerti.
2. Nyatakan objektif pada taraf generalisasi yang sesuai. Penjelasan objektif akan dicapai sekiranya digunakan perkataan berikut:
a. Mengenali – Pelajar menunjukkan keahlian benda atau kejadian tertentu.
Contoh: Diberi segi tiga sisi sama, segi tiga kaki sama dan segi tiga tak sama. Pelajar dapat mengenali segi tiga kaki sama.
b. Namakan – Pelajar memberi nama bagi himpunan tertentu
Contoh: Diberi contoh segi tiga kaki sama. Pelajar dapat menamakannya.
c. Perihalkan – Pelajar melaporkan sifat-sifat yang perlu tentang benda, kejadian atau perhubungan.
Contoh: Pelajar dapat menyifatkan segi tiga kaki sama.
d. Membina – pelajar membuat hasil yang memenuhkan spesifikasi tertentu.
Contoh: Dengan menggunakan pembaris dan jangka lukis, pelajar dapat membina segi tiga kaki sama.
e. Menyusun – Pelajar mengatur dua atau lebih benda dalam susunan tertentu.
Contoh: Pelajar dapat menghuraikan turutan langkah membina segi tiga kaki sama.
f. Menunjuk – Pelajar membuat perlakuan perlu untuk sesuatu kerja cara.
Contoh: Dengan menggunakan alat Matematik pelajar dapat menunjukkan proses membina segi tiga kaki sama.
- Objektif pendidikan boleh dibahagikan kepada tiga bidang mengikut model Taksonomi Bloom:
a. Kognitif
Pengetahuan seperti fakta, perangkaan, teori dan kefahaman.
b. Afektif
Berkaitan dengan perasaan, emosi, sikap, dan nilai yang kurang dititikberatkan di sekolah. Ia merujuk kepada kebolehan untuk memberi perhatian secara aktif, memperkembangkan pengetahuan dan penyataan pengetahuan Matematik.
c. Psikomotor
Pergerakan yang membawa kepada suatu kemahiran membuat sesuatu. Contohnya kebolehan menggunakan peralatan geometri.
3. PENGETAHUAN SEDIA ADA
- Sebelum sesuatu topik baru diajar, guru perlu tahu pengetahuan yang telah dikuasai oleh pelajarnya supaya pengajaran konsep atau kemahiran selanjutnya berjalan dengan lancar
4. ALAT BANTU MENGAJAR
- Guru yang cekap dan mahir akan menggunakan sumber-sumber yang terdiri daripada pelbagai jenis peralatan.
- Peralatan itu mestilah menjelaskan fungsi atau tugas tertentu dalam perkara yang dibincangkan.
- Perkara-perkara yang perlu diingatkan:
- Tujuan/Objektif tertentu – Adakah pelajar dapat mengingat, memahami atau membentuk sikap baru?
- Pelajar sasaran – Adakah mereka dapat menerima kaedah ini dan bolehkah menggunakan bahasa dengan cekap?
- Kaedah lain – Adakah objektif dapat dicapai ataupun akan dapat dicapai dengan lebih baik melalui penerangan lisan?
- Penilaian – Adakah bahan pengajaran itu dapat mencapai objektif yang diharapkan?
- Sebaiknya cipta sendiri bahan-bahan bagi alat pandang dengar.
- Bahan pengajaran boleh membantu perkara-perkara berikut:
- Mendorong kerjasama
- Menarik dan mengekalkan minat
- Informasi verbal yang lengkap
- Menjelaskan pertalian
- Bertanding
- Membuat pengukuhan
- Bahan-bahan pengajaran yang berkesan mestiah sederhana, jelas, dan sesuai.
5. NILAI-NILAI
- Penerapan nilai kepada semua pelajar di sekolah merupakan matlamat dalam pendidikan
- Guru perlu merancang dan memilih pendekatan yang sesuai untuk diterapkan nilai-nilai seperti bekerjasama, hormat-menghormati, kebersihan dan kerajinan.
- Boleh diterapkan secara formal atau tidak formal.
- Contohnya, pelajar dalam kumpulan boleh menerapkan nilai bekerjasama menyelesaikan masalah Matematik.
6. PERMULAAN (INDUKSI SET)
- Guru perlu mengadakan situasi yang merangsang minat dan tumpuan pelajar
- Antara faktor yang boleh menarik minat:
a. Pendengar atau pengguna tahu bahawa perkara atau konsep itu berguna dan berfungsi kepadanya.
b. Disampaikan kepadanya dengan cara dan gaya yang menarik.
c. Perkara atau benda itu menyeronokkan dan menggembirakan.
- Antara aktiviti yang boleh digunakan untuk memulakan pelajaran:
a. Aspek sejarah Matematik
Dapat memberikan kesedaran tentang perkembangan Matematik yang dinamik dan juga penggunaannya dalam kehidupan seharian.
b. Mengadakan situasi masalah
Guru mengadakan situasi masalah berkaitan dengan topik yang diajar.
c. Matematik rekreasi
Jenaka misteri, kuiz dan permainan Matematik boleh digunakan.
d. Mengulang kaji konsep atau kemahiran terdahulu
Dapat mengukuhkan lagi pengetahuan pelajar.
7. PERKEMBANGAN
- Menarik minat dan mengekalkan perhatian sepanjang pengajaran.
- Membantu pelajar memahami dan mengikuti pengajaran.
- Guru mempersembahkan beberapa konsep dan kemahiran dengan menunjukkan pertalian dengan tajuk diajar.
- Membina peta konsep supaya memudahkan pemahaman pelajaran.
8. AKTIVITI ATAU LATIHAN
- Untuk memperkukuhkan pembelajaran konsep dan kemahiran yang telah diajar.
- Guru dapat mengetahui sama ada objektif pengajaran tercapai atau tidak melalui aktiviti atau latihan.
9. PENILAIAN
- Menentukan kesan sesuatu pengajaran dan mencatatkannya dalam persediaan mengajar.
10. PENUTUP
- Guru meminta pelajar merumuskan dan menyatakan apa yang mereka telah pelajari.
- Tujuannya adalah untuk menguji sama ada pelajar memahami pengajaran guru serta objektif pengajaran telah tercapai.
|