PENGENALAN
Profesion sebagai seorang guru dalam era kini sangat mencabar. Guru bukan lagi melaksanakan kerja-kerja hakiki iaitu mengajar mata pelajaran mengikut opsyen. Namun, tugas dan tanggungjawab guru dipelbagaikan mengikut arahan yang ditetapkan oleh pengurusan sekolah. Dengan ini, guru dibebankan dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab yang perlu disiapkan mengikut masa yang ditetapkan. Antara contoh tugas dan tanggungjawab tambahan yang diberi kepada guru ialah dilantik menjadi setiausaha Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bendahari Jawatankuasa PIBG dan sebagai penyelaras-penyelaras yang berkaitan. Selain itu, guru juga terpaksa melaksanakan tugas-tugas perkeranian seperti menyediakan minit mesyuarat, mengisi dan mengumpul borang serta memasukkan data ke dalam komputer. Oleh hal yang demikian, guru seharusnya cuba mengaplikasikan kemahiran multitasking dalam menyelesaikan bebanan tugas tersebut.
APAKAH DEFINISI MULTITASKING?
Multitasking ialah pelbagai tugas yang melibatkan penyesuaian aktiviti kerja yang berbeza dan peralihan perhatian dari satu tugas ke satu tugas yang lain di dalam satu masa yang sama. Sebagai contoh, guru mempunyai meeting secara online dan diwaktu yang sama pihak pengurusan sekolah meminta guru melihat dan membentangkan data yang diperlukan serta merekodkannya. Di sini pada masa yang sama guru juga dikehendaki membuka software yang lain untuk meperoleh data dan membentangkan data seperti yang dikehendaki.
MENGURUS KEMAHIRAN MULTITASKING
Mengurus dan kemahiran adalah dua jenis elemen yang berbeza. Namun, kedua-dua elemen ini amat diperlukan dan penting dalam sesuatu pekerjaan. Hal ini adalah kerana fungsi bagi kedua-dua elemen ini saling berkait rapat di antara satu sama yang lain. Sekiranya sesorang tidak memiliki ciri-ciri mengurus dengan baik maka sudah tentu tidak akan dapat melaksanakan kemahiran yang ada dengan baik juga. Sebagai contoh, jika seseorang guru boleh mengurus kemahiran multitasking dengan cekap dan baik dengan mengambil kira prinsip-prinsip pengurusan dan kemahiran dalam multitasking, maka sudah tentu akan menghasilkan tugas yang berproduktiviti tinggi dan cemerlang dalam sesebuah organisasi.
BAGAIMANA GURU MENGURUS KEMAHIRAN MULTITASKING?
Adalah diyakinkan bahawa terdapat sebilangan besar guru yang mungkin berasa bangga kerana dapat melaksanakan banyak tugas dan tanggungjawab dalam masa yang sama. Di sini dikongsikan tips-tips untuk guru-guru melaksanakan multitasking agar tugas yang diagihkan dapat dilaksanakan dengan mudah, cekap dan cepat.
- Guru mesti mengutamakan tugas dan menangani permintaan yang paling kritikal dan mendesak terlebih dahulu.
- Guru perlu mengutamakan setiap tugas mengikut skala yang ditetapkan iaitu dari paling mustahak ke paling mudah.
- Guru perlu menetapkan timeline agar tugas menjadi lebih tersusun dan sistematik.
- Guru perlu membuat senarai kerja selepas kerja buat yang utama telah dilaksanakan dan timeline telah ditetapkan agar tugas menjadi lebih teratur. Senarai daftar kerja perlu dimulakan dari hal yang kecil hingga hal yang lebih penting.
- Guru perlu berusaha dan fokus kepada tugas hakiki yang dilakukan terlebih dahulu dan diikuti dengan tugas-tugas lain yang diberikan untuk diselesaikan dalam masa yang sama.
- Guru perlu menerapkan disiplin waktu dalam bekerja. Jangan melengahkan atau menangguhkan menyiapkan kerja kerana akan membuatnya membuang masa sahaja.
- Akhir sekali, guru perlu beristirehat walaupun kerja terlalu banyak hendak diselesaikan da;am masa yang ditetapkan. Hal ini adalah kerana untuk memulihkan semula tenaga yang telah banyak digunakan. Selepas itu guru boleh meneruskan semula menyelesaikan tugas yang tidak dapat diselesaikan sebelum ini.
CONTOH KEMAHIRAN MULTITASKING YANG DIGUNAKAN DALAM PELBAGAI PROFESION
- Mendisiplinkan murid yang bertindak semasa mengajar.
- Menyediakan kertas kerja sambil memberi input kepada ketua jawatankuasa.
- Menyediakan persembahan jualan contohnya untuk Hari Kantin Sekolah sambil mengambil aduan daripada pelanggan lain.
- Merancang laman web baru sambil mengemaskini laman web lain.
- Menjawab telefon semasa menyambut tetamu (contoh, ibu bapa) di tempat (contoh, pejabat) yang sibuk.
- Menulis prestasi kehadiran murid bagi persatuan/kelab sambil menerima telefon daripada Guru Penolong Kanan Kokurikulum (GPK KoKo) dan mencari ganti murid yang tidak hadir untuk menyertai pertandingan.
- Menjadualkan guru relief untuk guru yang tidak hadir sambil mengedarkan modul latihan murid.
- Mengutamakan aduan di pejabat khidmat pelanggan.
- Memperbaiki program komputer sambil menangani keperluan pengguna dalaman.
- Menghidangkan minuman, mengambil pesanan dan menerima makanan ketika panas untuk tetamu yang hadir di kantin sekolah.
KESIMPULAN
Secara amnya, mengurus kemahiran multitasking amat diperlukan dalam pekerjaan khususnya dalam era yang penuh mencabar ini. Hal ini adalah kerana pekerjaan pada zaman ini tidak kira dalam apa jenis profesion sekali pun memerlukan pekerja yang boleh mengimbangi permintaan pada satu masa dan menghasilkan prestasi kerja yang cemerlang. Dengan ini, adalah diharapkan agar tips-tips yang dikongsikan di atas yang berkaitan dengan mengurus kemahiran multitasking dapat membantu guru-guru menyelesaikan sedikit sebanyak bebanan tugas yang dihadapi pada masa kini.
Rujukan:
- Multitasking dan Strategi Agar Lebih Efektif Melakukannya-Talenta talenta.com
- Definisi, Kemahiran dan Contoh Multitasking ms.chalized.com
|