PENGENALAN
Konsep 5P ialah konsep asas yang dilaksanakan dalam proses PdP.
Konsep ini mengandungi penggabungjalinan, penyerapan, pengayaan, pemulihan dan pentaksiran (penilaian). Selain daripada bidang pengetahuan, bidang kemahiran atau bahan, konsep ini perlu dilaksanakan secara bersepadu dan tidak secara berasingan. Konsep ini juga diguna pakai dalam semua mata pelajaran dan hal ini selaras dengan usaha memenuhi konsep bersepadu sperti yang dikehendaki dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Berikut ialah penerangan mengenai konsep 5P.
1. PENGGABUNGJALINAN
Penggabungjalinan ialah satu aspek yang terdapat dalam proses PdP . Bidang-bidang seperti ilmu, kemahiran yang berkait rapat atau bahan pengajaran yang mempunyai urutan yang baik perlu disampaikan secara bersepadu. Strategi ini bertujuan untuk menjadikan aspek kemahiran saling memperkukuh dan bahan pengajaran saling melengkapi. Dalam hal ini, proses PdP akan menjadi lebih berkesan dan pembelajaran murid akan lebih bermakna.
Penggabungjalinan adalah penting dalam proses PdP. Tujuannya ialah:
- Kemahiran dapat dikuasai secara serentak.
- Bentuk pengajaran lebih menarik dan berkesan.
- Berpeluang untuk menggunakan kemahiran secara semula jadi.
- Aktiviti melibatkan pelbagai kemahiran dan ramai pelajar
PRINSIP-PRINSIP PENGGABUNGJALINAN
Terdapat beberapa prinsip pengabungjalinan yang perlu diambil kira iaitu:
- Fleksibel, mudah ubah serta bergantung kepada matlamat dan objektif pembelajaran yang hendak dicapai.
- Guru perlu tahu jenis dan berapa kemahiran yang hendakdigabungjalinkan dalam PdP.
- Kemahiran yang dipilih hendaklah berfokus dan hendaklah dirancang dengan baik dan
- Berdasarkan kebolehan serta pencapaian murid.
BENTUK-BENTUK PENGGABUNGJALINAN
Penggabungjalinan mempunyai tiga aspek iaitu:
- Penggabungjalinan kemahiran
- Penggabungjalinan bahan
- Penggabungjalinan aktiviti.
A. PENGGABUNGJALINAN KEMAHIRAN
Penggabungjalinan kemahiran boleh digabungjalinkan dengan sekurang-sekurangnya dua aktiviti atau lebih mengikut keperluan dan kesesuaian pembelajaran. Penggabungjalinan boleh merangkumi aktiviti-aktiviti dari segi aspek lisan, bacaan dan kefahaman serta tulisan. Aktiviti-aktiviti seperti perbualan, perbincangan, bertemu ramah, berbahas, bercerita, lakonan, memahami isi-isi penting dalam teks, membina ayat, memberi ulasan dan menulis laporan boleh digunakan dalam kemahiran penggabungjalinan semasa PdP BM dilaksanakan.
B. PENGGABUNGJALINAN AKTIVITI
Penggabungjalinan aktiviti boleh dilaksanakan dalam PdP BM setelah guru merancang berdasarkan aktiviti yang hendak dilaksanakannya. Kebiasaannya, aktiviti-aktiviti yang dirancang perlu digabungjalinkan dengan aktiviti-aktiviti yang mempunyai urutan yang baik. Contohnya, jika aktiviti ceramah mesti diikuti dengan aktiviti mencatat isi, jika aktiviti bercerita mesti diikuti dengan aktiviti berbincang and menulis karangan serta jika aktiviti membaca mesti diikuti dengan aktiviti mencari isi penting dan diikuti dengan mengulas dan menulis rumusan.
C. PENGGABUNGJALINAN BAHAN
Penggabungjalinan bahan biasanya berfokus kepada bahan atau tema PdP. Bahan boleh terdiri daripada bahan utama atau bahan sokongan.Perancangan harus dibuat bagi menentukan bahan yang dipilih sesuai dengan keperluan
pengalaman, dan tahap pencapaian murid. Antara bahan yang boleh digabungjalinkan adalah seperti berikut:
- Bahan-Bahan utama (Petikan)
- Bahan sokongan (Bahan rangsangan)
- Bahan lisan (Rakaman)
Bahan-bahan tersebut boleh digabungjalinkan mengikut keperluan masa yang ditetapkan dan mempunyai pertalian dan urutan yang baik.
Contohnya: Bahan Berita diikuti dengan ulasan manakala bahan iklan diikuti dengan surat permohonan, temu duga dan surat jawapan temu duga.
CONTOH PENGGABUNGJALINAN DALAM PdP BAHASA MELAYU
Tajuk pelajaran : JASA AYAH
Langkah 1
Murid membaca sajak bertajuk “jasa ayah”.(kemahiran membaca)
Langkah II
Murid bercerita tentang jasa ayah mereka.(kemahiran lisan)
Langkah III
Murid berbincang dalam kumpulan tentang bagaiman membalas jasa ayah dan membuat pembentangan.(kemahiran lisan)
Langkah IV
Murid menulis ayat-ayat tentang keistimewaan ayah mereka ( kemahiran menulis)
Langkah V
Murid mencipta kad Hari Bapa dan mewarnakannya. (Kemahiran Seni Visual)
Penutup
Murid menyanyi lagu ayah (contoh: Bapaku Pulang) dan melakukan pergerakan.(kemahian muzik)
1. PENYERAPAN
Penyerapan merupakan proses menyatu padukan pengetahuan atau unsure pengetahuan daripada satu mata pelajaran lain sebagai isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar.
Sebagai contoh, unsur ilmu, nilai, dan kemahiran yang mempunyai nilai tambah seperti kemahiran berfikir, kemahiran belajar, dan kajian masa depan boleh diserapkan dalam pengajaran BM.
CONTOH AKTIVITI PENYERAPAN DALAM PENGAJARAN BM
Tahun : 4
Tema: Keluargaku Sayang
Tajuk: Keluarga Bahagia
Kemahiran: Membina dan` menulis ayat tunggal serta ayat majmuk
dalam sesuatu penulisan teks tentang sesuatu tajuk.
Contoh aktiviti :
Menulis ayat tunggal
Menulis ayat majmuk
Melukis gambar aktiviti keluarga (Penyerapan Pendidikan Seni Visual)
Menyenaraikan sifat-sifat anak yang baik ( Penyerapan Agama Islam / Moral)
2. PENGAYAAN
Pengayaan ialah aktiviti pembelajaran yang menarik untuk memberi peluang kepada murid mengembangkan sifat ingin tahu, semangat berdikari, daya kreativiti dan semangat kepimpinan. Pengayaan disediakan untuk semua murid dari pelbagai kebolehan. Aktiviti pengayaan berlainan dengan aktiviti pembelajaran kemahiran asas. Murid diberikan aktiviti pengayaan setelah mereka berupaya menyiapkan tugasan dan berjaya menguasai kemahiran asas tertentu. Tujuannya ialah untuk meluaskan pengetahuan dan pengalaman selari dengan minat dan kebolehan mereka.
3. PEMULIHAN
Pemulihan dihubungkaitkan dengan murid-murid yang belum menguasai kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira (3M). Pengajaran pemulihan merupakan pengajaran berbentuk intervensi yang dilaksanakan bagi memulihkan murid bermasalah tersebut. Tujuannya agar jurang perbezaan menguasai sesuatu kemahiran antara seorang murid dan murid lain tidak berlaku. Guru BM yang sama akan melaksanakan aktiviti pemulihan dengan murid-murid tersebut di dalam kelas aliran perdana yang diajarnya.
4. PENTAKSIRAN / PENILAIAN
Pentaksiran / penilaian merupakan suatu proses mendapatkan maklumat yang akan digunakan untuk membuat pertimbangan seterusnya dalam membuat keputusan. Sebagai rumusannya, pentaksiran / penilaian merupakan satu proses atau aktiviti berterusan yang sistematik untuk memperoleh maklumat yang berguna dalam menentukan sesuatu prestasi pengajaran dan pembelajaran BM Pentaksiran atau penilaian yang dilaksanakan untuk mata pelajaran BM ialah untuk menaksir, mengukur, dan membuat pertimbangan mengenai kebolehan atau kemahiran dan kefahaman murid berdasarkan objektif pembelajaran.
Aktiviti Penilaian Bahasa
Terdapat dua jenis penilaian yang boleh dilaksanakan untuk menilai kemahiran bahasa iaitu:
1. Portfolio atau Projek
Portfolio atau projek ialah satu kaedah yang digunakan untuk guru mengumpul dan merekod evidens berdasarkan hasil pencapaian murid dalam satu jangka masa yang ditetapkan oleh guru dan murid. Penilaian untuk portfolio atau projek boleh dilaksanakan melalui pemerhatian.
Contohnya: Penilaian kemahiran mengeja untuk aktiviti EJAAN. Guru menilai perkembangan murid dalam kemahiran mengeja. Penilaian kemahiran ini merangkumi aspek penguasaian kemahiran, ilmu pengetahuan dan kefahaman murid. Caranya adalah seperti berikut. Penilaian murid dalam aktiviti EJAAN perlu ditaksir melalui keupayaan mereka untuk:
- mengenal huruf,
- menyebut bunyi huruf,
- membentuk suku kata,
- mencantum suku kata dengan bimbingan guru, dan,
- berdikari mengeja perkataan-perkataan.
Guru perlu merekod hasil penilaian yang dilaksanakan berdasarkan evidens yang dilihat dan diperoleh melalui inferens iaitu berdasarkan kemampuan murid mengeja perkataan yang diberi.
2. Penilaian Berterusan
Proses penilaian berterusan perlu dilaksanakan melalui pemerhatian iaitu berdasarkan kualiti pemerhatian, jenis-jenis pemerhatian dan bentuk perancangan. Contoh proses pentaksiran yang boleh dilaksanakan ialah murid menjawab lembaran kerja, menjawab soalan guru secara lisan dan aktiviti pembentangan. Guru perlu mencatat atau merekod evidens murid berdasarkan pemerhatian secara langsung semasa mereka melaksanakan aktiviti sama ada dalan kumpulan mahupun individu.
KESIMPULAN
Secara keseluruhannya, konsep5P memainkan peranan penting dalam proses PdP. Beberapa kemahiran dapat dikuasai secara serentak semasa konsep ini dilaksanakan dalam PdP. Hal ini bertujuan untuk mengelakkan murid rasa bosan dalam proses pembelajaran.
Disklaimer: Hasil penulisan ini ialah berbentuk umum dan hanya sekadar perkongsian serta bacaan.
Rujukan:
Pengajian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah https://www.academia.edu
|