Cara Membina Penutup Karangan Tidak Berformat dengan Formula KPCH
|
PENDAHULUAN KPCH Ayat 1 – Kesimpulan: CONTOH MEMBINA PENUTUP KARANGAN Soalan Karangan Saban tahun, pihak polis sering menerima laporan tentang kemalangan jalan raya yang tidak berpenghujung. Keadaan ini telah membimbangkan semua pihak, terutamanya kerajaan. Oleh itu, bincangkan punca-punca kemalangan jalan raya di Malaysia. Langkah 1: Pelajar dikehendaki untuk membina ayat pertama penutup dengan menggunakan singkatan ‘K’, iaitu ‘Kesimpulan’. Dalam ayat ini, pelajar harus menyimpulkan isi-isi penting karangan yang ditulis secara umum. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya. Ayat 1: Kesimpulannya, kemalangan jalan raya wujud daripada punca yang berbagai-bagai. Langkah 2: Pelajar dikehendaki untuk membina ayat kedua penutup dengan menggunakan singkatan ‘P’, iaitu ‘Pandangan’. Dalam ayat ini, pelajar harus memberikan pandangannya berdasarkan isi-isi penting karangan yang telah ditulis. Namun, ayat ini tidak perlu dimulakan dengan “Pada pandangan saya”. Selain itu, pandangan yang diberikan boleh bersifat positif atau negatif, bergantung kepada isi-isi penting karangan yang telah dibincangkan. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya. Ayat 2: Secara jelas, kemalangan jalan raya ialah kemelut yang berupaya menjadi penyumbang kepada kadar kematian di Malaysia. Langkah 3: Pelajar dikehendaki untuk membina ayat ketiga penutup dengan menggunakan singkatan ‘C’, iaitu ‘Cadangan’. Dalam ayat ini, pelajar harus memberikan cadangan berdasarkan isi-isi penting karangan yang telah ditulis. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya. Ayat 3: Oleh itu, semua lapisan masyarakat harus menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan memastikan pemanduan dan keadaan di atas jalan raya berada dalam keadaan selamat. Langkah 4: Pelajar dikehendaki untuk membina ayat keempat penutup dengan menggunakan singkatan ‘H’, iaitu ‘Harapan’. Dalam ayat ini, pelajar harus menyatakan harapan terhadap cadangan yang diberikan dalam ayat sebelumnya. Ayat di bawah merupakan contoh binaan ayatnya. Ayat 4: Tanggungjawab yang dilaksanakan oleh setiap pihak berupaya menyelamatkan nyawa insan-insan yang tersayang dari terus diragut.
|
Start your first discussion