Alam Melayu merangkumi gugusan kepulauan dan tanah besar di bahagian tenggara benua Asia.
Istilah lain bagi Alam Melayu ialah Kepulauan Melayu dan Dunia Melayu.
Pada zaman dahulu, gugusan tanah luas terbentang yang menghubungkan kawasan daratan dengan kepulauan ini dikenali sebagai Pentas Sunda.
Kawasan di Pentas Sunda ini mempunyai ciri fizikal dan hidupan yang sama.
Geografi
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, ahli arkeologi:
Alam Melayu meliputi kawasan dari Madagaskar ke Tanah Melayu, Papua New Guinea, Australia, New Zealand, Kepulauan Pasifik dan sampai ke Taiwan.
Alfred Russel Wallace, sarjana Barat:
Kepulauan Melayu meliputi Tanah Melayu hingga Tenasserim dan Kepulauan Nicobar, Filipina dan Kepulauan Solomon hingga
Papua New Guinea.
Profesor Dr. Ding Choo Ming,pengkaji manuskrip Melayu:
Dunia Melayu merupakan sebuah kawasan yang luas meliputi Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, selatan Thailand dan Filipina.
Bahasa
Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, tokoh bahasa:
Bahasa serumpun di Alam Melayu mempunyai perkaitan dengan bahasa etnik peribumi. Persamaan ini boleh dikenal pasti melalui kata-kata tertentu. Apabila membuat perbandingan bahasa-bahasa serumpun ini, terdapat pertalian kekeluargaan bahasa-bahasa ini dengan bahasa Melayu.
Sutan Takdir Alisjahbana, tokoh bahasa:
Bahasa Melayu telah digunakan secara meluas di Alam Melayu sejak awal Masihi lagi. Sifat orang Melayu yang gemar belayar telah mengembangkan lagi bahasa Melayu ke Alam Melayu. Tambahan pula sifat bahasa Melayu yang sederhana dan mudah dipelajari membolehkan bahasa ini diterima di Alam Melayu.
Budaya
Dato’ A. Aziz Deraman, budayawan:
Sejak awal lagi, budaya di Alam Melayu ini telah berkembang maju dengan munculnya beberapa kepandaian tertentu dalam bidang kesenian. Antaranya termasuklah pembuatan gangsa dan seni mempertahankan diri. Kedua-dua kepandaian ini merupakan ciptaan asli di Alam Melayu. Selain itu, nilai-nilai serumpun wujud dalam masyarakat Alam Melayu terutamanya gotong-royong. Dalam aspek seni persembahan pula, muncul wayang kulit di Kelantan dan Pulau Jawa.
Treat yourself with rewards for your hard work