Cuaca dan Iklim di Malaysia

04  Cuaca dan Iklim di Malaysia
 
   
Jenis dan Ciri Iklim di Malaysia  
  • Malaysia mengalami iklim Khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun.
  • Iklim jenis ini dialami oleh kawasan yang terletak di Garisan Khatulistiwa.
 
DEFINISI IKLIM
Purata suhu, hujan, tekanan udara dan angin sesuatu tempat selama 30 tahun
 
   
Ciri iklim di Malaysia Keterangan
Suhu

Suhu tinggi dan hampir sekata sepanjang tahun.

Min suhu tahunan tinggi, iaitu 27ºC. Julat suhu tahunan kecil, iaitu 1ºC hingga 3ºC.

Julat suhu harian besar, iaitu 5ºC hingga 10ºC bagi stesen berhampiran pantai, 8ºC hingga 12ºC bagi stesen di pedalaman

Hujan

Negara kita menerima hujan sepanjang tahun.

Jumlah hujan tahunan di Malaysia adalah kira-kira 2 600 mm.

Taburan hujan adalah tidak sekata kerana dipengaruhi oleh bentuk muka bumi dan tiupan angin monsun.

Hujan maksimum diterima semasa peralihan monsun, iaitu pada hujung bulan Mac hingga awal Mei dan Oktober hingga pertengahan November.

Kawasan yang menerima hujan paling sedikit di Malaysia ialah Kuala Pilah di Negeri Sembilan.

Purata hujan tahunannya kurang daripada 1 500 mm kerana terletak di kawasan lindungan hujan.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan tahunan tertinggi di Malaysia berlaku di cerun bukit kawasan pedalaman Sarawak.

Purata hujan tahunannya melebihi 5 000 mm kerana terletak di cerun bukit yang menghadap angin lembap.

Angin

Terdapat dua jenis angin monsun, iaitu Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya. Selain itu, Malaysia juga menerima tiupan angin Sumatera dan angin tempatan (bayu laut dan bayu darat).

Angin tempatan ialah angin yang bertiup di sebuah kawasan kecil, berbeza dengan taburan tekanan umum yang terdapat pada persekitaran tersebut.

 
   
Jenis Hujan di Malaysia
Hujan perolakan Hujan Bukit

Permukaan bumi dipanaskan oleh pancaran matahari.

Air tersejat dan membentuk wap air.

Udara panas bersama-sama wap air naik ke atmosfera sehingga sampai di paras yang tinggi.

Udara menjadi sejuk dan wap air mengalami proses pemeluwapan menjadi titisan air lalu membentuk awan kumulonimbus.

Kebiasaannya, hujan lebat turun pada lewat petang disertai kilat dan petir.

Hujan bukit turun di kawasan tanah tinggi yang menghadap udara lembap.

Udara lembap dari laut dipaksa naik ke cerun bukit kerana dihalang oleh tanah tinggi.

Udara menjadi sejuk dan wap air mengalami proses pemeluwapan menjadi titisan air lalu membentuk awan.

Hujan lebat turun di bahagian cerun bukit yang menghadap udara lembap.

Bahagian cerun yang terlindung menerima hujan yang sedikit dan dikenali sebagai kawasan lindungan hujan.

 
   
Jenis Angin di Malaysia
Angin Monsun Timur Laut Angin Monsun Barat Daya

Bertiup dari awal bulan November hingga Mac.

Bermula dari pedalaman Benua Asia.

Bertiup merentasi Laut China Selatan dan sampai di Malaysia sebagai angin Monsun Timur Laut.

Membawa hujan lebat ke pantai timur Semenanjung Malaysia, kawasan barat Sarawak serta pantai utara dan timur Sabah

Bertiup dari pertengahan bulan Mei hingga akhir bulan September.

Berasal dari Benua Australia.

Bertiup merentasi Lautan Hindi dan sampai di Malaysia sebagai angin Monsun Barat Daya.

Membawa hujan yang sederhana lebat ke Malaysia kerana dihalang oleh tanah tinggi di Sumatera (Indonesia).

Angin Sumatera

Bertiup dari bulan April hingga Mei dan September hingga Oktober.

Berasal dari Sumatera (Indonesia).

Dikenali sebagai ‘skual’.

Bertiup dengan kencang secara tiba-tiba pada waktu malam hingga subuh ke pantai barat Semenanjung Malaysia, terutamanya dari Pelabuhan Klang hingga ke Johor Bahru.

Membawa hujan lebat yang disertai kilat dan petir.

Angin Tempatan
Bayu Laut Bayu Darat

Angin tempatan yang berlaku pada waktu siang di kawasan berhampiran pantai.

Berlaku kerana tekanan udara di permukaan laut adalah lebih tinggi daripada tekanan udara di daratan.

Udara bergerak dari laut yang bertekanan tinggi ke daratan yang bertekanan rendah.

Angin tempatan yang berlaku pada waktu malam di kawasan berhampiran pantai.

Berlaku kerana tekanan udara di daratan adalah lebih tinggi daripada tekanan udara di permukaan laut.

Udara bergerak dari daratan yang bertekanan tinggi ke laut yang bertekanan rendah.

 
   
Pengaruh Cuaca dan Iklim terhadap Kegiatan Manusia di Malaysia  
Pertanian

Iklim Khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun menggalakkan penanaman pelbagai jenis tanaman seperti padi sawah, getah, kelapa sawit, koko dan lada hitam.

Kawasan pertanian utama di Malaysia:

(a) Padi: Dataran Kedah–Perlis Dataran Kelantan

(b) Kelapa sawit: Segi Tiga Jengka (Pahang) Lahad Datu (Sabah)

(c) Lada hitam:  Sekitar Kuching dan Sri Aman (Sarawak)

Di kawasan tanah tinggi yang mengalami suhu antara 18ºC hingga 21ºC, sesuai untuk penanaman teh, sayur-sayuran, bunga-bungaan dan buah-buahan hawa sederhana. Contohnya, Cameron Highlands di Pahang dan Kundasang di Sabah

Pembalakan

Suhu yang tinggi dan jumlah hujan yang banyak di Malaysia menggalakkan pertumbuhan hutan hujan tropika, terutamanya di kawasan pedalaman Semenanjung Malaysia serta pedalaman Sabah dan Sarawak.

Pelbagai pokok kayu keras seperti cengal, meranti, nyatuh dan keruing yang terdapat di hutan hujan tropika telah menggalakkan kegiatan pembalakan.

Walaubagaimanapun, aktiviti pembalakan sukar dijalankan pada musim tengkujuh kerana jalan licin dan terdedah kepada bahaya tanah runtuh.

Perikanan

Pada musim tengkujuh, iaitu semasa tiupan angin Monsun Timur Laut, nelayan di pantai timur Semenanjung Malaysia tidak dapat turun ke laut kerana keadaan Laut China Selatan yang bergelora.

Oleh sebab itu, mereka melakukan pelbagai aktiviti lain di darat seperti membaiki jala dan pukat yang rosak.

Nelayan di pantai barat Semenanjung Malaysia dapat menangkap ikan sepanjang tahun.

Hal ini disebabkan oleh kawasan perairan Selat Melaka terlindung daripada tiupan angin kencang semasa Monsun Timur Laut oleh Banjaran Titiwangsa dan Monsun Barat Daya oleh Sumatera (Indonesia).

Aktiviti menjemur ikan di kawasan pinggir pantai dilakukan semasa keadaan cuaca panas.

Pelancongan

Keadaan iklim Khatulistiwa yang panas dan lembap sepanjang tahun menarik minat ramai pelancong antarabangsa berkunjung ke Malaysia.

Kawasan tanah tinggi yang bersuhu sederhana dan udara nyaman menarik kedatangan pelancong.

Suhu air laut antara 20ºC hingga 30ºC menggalakkan pertumbuhan batu karang dan aktiviti menyelam skuba.

Contoh kawasan peranginan pantai dan pulau di Malaysia: Pantai Damai (Sarawak), Pulau Redang (Terengganu) dan Pulau Sipadan (Sabah)

Contoh kawasan peranginan tanah tinggi di Malaysia: Cameron Highlands (Pahang), Kundasang (Sabah) dan Bukit Larut (Perak)

 
   
Kesan Kegiatan Manusia terhadap Cuaca dan Iklim di Malaysia  

(a) Kesan rumah hijau

  • Suhu meningkat disebabkan pertambahan gas rumah hijau seperti karbon dioksida, metana, nitrus oksida dan kloroflurokarbon di udara kerana berpunca daripada aktiviti manusia seperti pembakaran sisa pertanian, kegiatan pembalakan, pembakaran hutan dan pembakaran bahan api fosil.

(b) Pulau haba

  • Pulau haba merujuk fenomena suhu kawasan tepu bina di dalam bandar lebih panas daripada kawasan di sekitarnya dan fenomena ini menyebabkan keselesaan penduduk di bandar terjejas kerana keadaan suhu yang tinggi.

Berikut merupakan punca fenomena pulau haba terjadi:

 
 

(c) Hujan asid

  • Hujan asid ialah hujan yang mengandungi kandungan asid lemah dengan nilai pH kurang daripada 5.6.
  • Hujan asid berlaku apabila udara di sesuatu kawasan tercemar dengan teruk, terutamanya di kawasan perindustrian.
  • Pembakaran bahan api fosil seperti arang batu dan petroleum oleh kilang, stesen jana kuasa dan kenderaan menyebabkan pembebasan gas sulfur dioksida, karbon dioksida dan nitrogen oksida yang banyak ke atmosfera.
  • Gas-gas ini terlarut dalam wap air dan menghasilkan asid sulfurik dan asid nitrik.
  • Wap air yang mengandungi asid ini akan membentuk awan dan apabila terpeluwap, hujan akan turun sebagai hujan asid.
  • Hujan asid memusnahkan tanaman dan tumbuh-tumbuhan, melunturkan cat dan menghakis dinding bangunan, menjejaskan kualiti air dan kepupusan hidupan akuatik dan mengancam kesihatan manusia

(d) Jerebu

  • Jerebu yang kelihatan di ruang udara kita adalah disebabkan oleh zarah-zarah halus yang tidak nampak oleh mata kasar terampai di atmosfera dalam kepekatan yang tinggi yang berpunca daripada letusan gunung berapi yang berlaku di negara jiran, pembakaran hutan, pembakaran bahan api fosil (kenderaan dan kilang) dan pembakaran terbuka (sampah sarap dan sisa tumbuhan).
  • Kesan-kesan jerebu ialah mengurangkan jarak penglihatan, ,mengganggu pertumbuhan tanaman, menyebabkan masalah kesihatan (kulit, mata, paru-paru) dan menjejaskan aktiviti pengangkutan
 
   
Kesan Perubahan Cuaca dan Iklim di Malaysia  
Perubahan cuaca dan iklim di Malaysia akan menyebabkan fenomena El Nino dan La Nina.  
   
(a)  Fenomena El Nino  
  • Dikaitkan dengan pemanasan suhu di Lautan Pasifi k yang luar biasa sehingga menyebabkan perubahan tekanan udara dan pola tiupan angin.
  • Dalam keadaan normal, angin Timuran yang biasanya bertiup dari timur Lautan Pasifi k ke barat Lautan Pasifi k akan membawa hujan yang lebat ke Asia Tenggara, Australia dan Papua New Guinea.
  • Namun, semasa El Nino, tiupan angin Timuran menjadi lemah disebabkan oleh tekanan udara yang rendah. Angin Timuran digantikan dengan angin Baratan yang bertiup ke timur Lautan Pasifik
  • Keadaan ini mengakibatkan negara-negara di barat Lautan Pasifi k, termasuk Malaysia mengalami kemarau, walaupun sepatutnya menerima hujan lebat ketika ini. Negara di timur Lautan Pasifik pula mengalami keadaan hujan lebat, walaupun sepatutnya mengalami musim kemarau.
 
   
(b)  Fenomena La Nina  
  • La Nina ialah gejala gangguan iklim yang disebabkan oleh penurunan suhu permukaan laut di bahagian tengah dan timur Lautan Pasifi k. Penurunan suhu adalah lebih rendah daripada biasa berbanding dengan kawasan sekitarnya.
  • Fenomena La Nina akan mengakibatkan pembentukan awan yang tebal dan hujan lebat yang luar biasa serta kebarangkalian berlakunya banjir besar.
  • Di Malaysia, La Nina biasanya akan memberi kesan kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, terutamanya ketika Monsun Timur Laut.
  • Keadaan ini akan meningkatkan jumlah hujan yang turun di kawasan berkenaan dan seterusnya menyebabkan berlakunya kejadian banjir besar seperti yang pernah berlaku di negara kita pada tahun 2014.